PETALING JAYA: Sebanyak 503 kes baharu tuberkulosis atau tibi direkodkan pada minggu epidemiologi kelima dan menjadikan jumlah keseluruhan kes di seluruh negara setakat ini sebanyak 2,571.
Kementerian Kesihatan berkata, Sabah mencatatkan kes tertinggi iaitu 614, diikuti Selangor (476), Sarawak (257), Johor (233), Kuala Lumpur dan Putrajaya (202), Pulau Pinang (148), Kedah (144) dan Perak (127).
Negeri-negeri lain merekodkan kurang daripada 100 kes seperti Kelantan (96), Pahang (81), Terengganu (60), Negeri Sembilan (58), Melaka (42), Perlis (17) dan Labuan (16).
“Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya terus berwaspada menjelang musim perayaan dan cuti panjang dengan mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul, serta memakai pelitup muka di kawasan sesak.
“Individu yang mengalami gejala seperti batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan atau penurunan berat badan digesa menjalani saringan di fasiliti kesihatan terdekat dengan segera,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, langkah-langkah pencegahan berkenaan adalah tanggungjawab sosial bagi melindungi komuniti daripada penyakit berjangkit, selaras prinsip penilaian risiko kendiri. – UTUSAN










