PETALING JAYA: Gelanggang bola sepak remaja tanah air bakal kembali meriah apabila seramai 18,000 pemain muda dari dalam dan luar negara dijangka memeriahkan Piala Maxim dan Siri Maxim Elit 2026 yang akan berlangsung di lima lokasi utama seluruh negara.
Kejohanan anjuran Maxim Events itu dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Melaka dan Johor dengan penyertaan lebih 1,500 pasukan, sekali gus menjadikannya antara festival bola sepak akar umbi terbesar di rantau ini.
Saingan yang membabitkan lapan kejohanan sepanjang tahun ini, menawarkan kategori bawah enam hingga bawah 20 tahun bagi lelaki dan perempuan.
Pendekatan menyeluruh ini memberi peluang kepada bakat cilik dan remaja mengasah potensi dalam suasana pertandingan yang kompetitif serta tersusun.
Pengarah Maxim Events, Will Kucia berkata, penganjuran edisi kali ini tampil dengan penambahan lokasi baharu di Melaka sebagai usaha memperluas penyertaan dan mendekati lebih ramai komuniti bola sepak.
“Kami teruja untuk terus mengembangkan platform ini. Tahun lalu, kami menyaksikan peningkatan penyertaan dan penambahbaikan dari segi kualiti penganjuran.
“Tahun ini kami mahu memastikan lebih ramai pemain muda mendapat peluang beraksi dalam suasana kompetitif yang tersusun dan selamat,” katanya.
Kejohanan berkenaan juga, terus mendapat kepercayaan penaja utama, Subway Malaysia bagi musim 2026 dan sokongan berterusan itu dilihat mampu memperkukuh pembangunan bola sepak akar umbi secara lebih menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutif Subway Malaysia, Kon Kin Siong berkata, pihaknya komited membantu pembangunan bakat muda menerusi tajaan yuran penyertaan, penyediaan kit pasukan serta sokongan makanan kepada pasukan terpilih.
“Sokongan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk memperkasa bola sepak akar umbi dan memberi peluang kepada lebih ramai pemain muda berkembang dalam persekitaran yang positif,” jelasnya.
Siri kejohanan tersebut akan membuka tirai menerusi Piala Maxim Kuala Lumpur pada 2 dan 3 Mei, sebelum saingan diteruskan di Pulau Pinang (11 dan 12 Julai), Langkawi (17 hingga 19 Julai), Melaka (25 dan 26 Julai) serta Johor pada 7 hingga 9 Ogos dan 30 November hingga 1 Disember.
Turut melengkapkan kalendar ialah Siri Maxim Elit Perempuan (27 hingga 29 November) dan Siri Maxim Elit Lelaki (4 hingga 6 Disember).-UTUSAN










