Rice tuntut Arsenal kekal tenang

Rice tuntut Arsenal kekal tenang

PENYERANG Brentford, Keane Lewis-Potter menjaringkan gol ketika menentang Arsenal di Stadium Gtech Community, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pemain tengah Arsenal, Declan Rice menegaskan pasukannya perlu kekal fokus dan tidak mempedulikan spekulasi mengenai kebangkitan Manchester City dalam perebutan gelaran musim ini.

City kini hanya ketinggalan empat mata di belakang skuad kendalian Mikel Arteta dan memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri apabila kedua-dua pasukan dijadual bertemu pada April depan.

Arsenal sebelum ini dilihat berada di landasan terbaik untuk menamatkan kemarau 22 tahun kejuaraan liga apabila mendahului sembilan mata, namun situasi berubah selepas City bangkit menewaskan Liverpool 2-1 hujung minggu lalu sebelum membelasah Fulham 3-0 pada aksi pertengahan minggu.

Sebaliknya, Arsenal gagal memanfaatkan peluang untuk terus melebarkan jurang apabila diikat 1-1 menentang Brentford di barat London semalam.

Dalam perlawanan itu, Noni Madueke meletakkan pelawat di hadapan namun Brentford menyamakan kedudukan menerusi Keane Lewis-Potter dan hampir mencuri kemenangan pada 20 minit terakhir perlawanan.

“Musim ini ibarat rollercoaster. Kita tidak boleh terlalu naif dan menganggap ia mudah.

“Kami berdepan pasukan terbaik setiap minggu. Apa yang penting adalah terus bekerja keras, percaya kepada kemampuan sendiri dan mengawal apa yang berada dalam kawalan kami.

“Kami perlu menepis segala gangguan luar. Orang akan bercakap mengenai perebutan gelaran tetapi kami mempunyai kumpulan pemain yang tenang dan fokus,” kata Rice.

Rice turut mengakui Brentford bukan lawan mudah berdasarkan prestasi semasa mereka.

“Saya tidak pernah menganggap Brentford pasukan yang mudah ditewaskan. Mereka antara pasukan terbaik liga ketika ini. Ini satu mata yang penting dalam perjalanan kami namun kami sememangnya mahukan kemenangan,” katanya.

Sementara itu, Arteta meluahkan rasa kecewa apabila anak buahnya hilang kawalan permainan selepas mempamerkan permulaan yang baik pada babak kedua.

“Kami kurang tenang untuk mengekalkan penguasaan bola dan bermain di kawasan yang sepatutnya. Kami juga terlalu banyak menghadiahkan sepakan percuma yang tidak perlu,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN