Trump beritahu Netanyahu rundingan dengan Iran perlu diteruskan - Utusan Malaysia

Trump beritahu Netanyahu rundingan dengan Iran perlu diteruskan

DONALD Trump menerima kunjungan Benjamin Netanyahu di Rumah Putih di Washington.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberitahu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih bahawa rundingan dengan Iran perlu diteruskan, menolak desakan sekutu rapatnya itu untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap Teheran.

Trump sebelum ini memberi bayangan kemungkinan akan mengambil langkah ketenteraan terhadap Iran susulan tindakan keras Teheran terhadap penunjuk perasaan, tetapi kedua-dua negara memutuskan memulakan semula rundingan di Oman minggu lalu.

“Tiada keputusan muktamad dicapai selain saya menegaskan rundingan dengan Iran mesti diteruskan untuk melihat sama ada satu perjanjian boleh dicapai atau tidak.

“Jika boleh dicapai, saya maklumkan kepada Perdana Menteri, ia akan menjadi pilihan. Jika tidak, kita akan lihat hasilnya nanti,” kata Trump, sambil mengingatkan tentang serangan AS tahun lalu terhadap program nuklear Iran.

Netanyahu yang ingin memasukkan program peluru berpandu balistik Iran dalam sebarang rundingan, bergegas ke Washington untuk pertemuan ketujuhnya dengan Trump sejak Presiden AS itu kembali berkuasa.

Mesyuarat di Rumah Putih diadakan secara tertutup, dengan Netanyahu masuk melalui pintu lain tanpa menerima upacara kehormatan tradisional. Gambar Trump dan Netanyahu bersalaman dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri Israel.

Netanyahu berkata, perbincangan utamanya di Washington adalah mengenai rundingan dengan Iran, sambil menambah isu Gaza dan perkara serantau lain turut dibincangkan.

Kebimbangan Israel meningkat semasa perang luar biasa tahun lalu apabila Iran melancarkan gelombang peluru balistik dan peluru lain ke wilayah Israel, menyerang kawasan tentera serta lokasi awam.

Trump memberi harapan kepada perjanjian nuklear, tetapi pada masa sama meningkatkan ancaman kemungkinan tindakan tentera AS terhadap Iran. 

Beliau memberi amaran dalam wawancara dengan Axios pada Selasa lalu bahawa beliau sedang mempertimbangkan menghantar kumpulan kapal pengangkut pesawat kedua ke rantau tersebut.

“Sama ada kita akan mencapai perjanjian atau kita perlu lakukan sesuatu yang sangat tegas seperti sebelum ini. Kita ada armada yang sedang menuju ke sana dan satu lagi mungkin akan menyusul,” katanya.

Setakat ini, Iran menolak untuk meluaskan rundingan dengan AS selain isu nuklearnya, walaupun Washington mahu isu program peluru berpandu balistik Iran dan sokongannya kepada kumpulan bersenjata serantau turut dibincangkan.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian berkata, Teheran tidak akan menurut tuntutan berlebihan terhadap program nuklearnya, tetapi menegaskan negaranya tidak berhasrat memiliki senjata nuklear.

Lawatan Netanyahu juga membabitkan isu lain dari Gaza hingga Tebing Barat. 

Beliau secara rasmi menyertai Lembaga Keamanan Trump yang pada asalnya bertujuan mengawasi gencatan senjata Gaza tetapi kini berpotensi menjadi alternatif kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mesyuarat itu juga berlaku ketika kemarahan antarabangsa meningkat susulan tindakan Israel mengetatkan kawalan ke atas Tebing Barat yang diduduki dengan membolehkan peneroka haram Yahudi membeli tanah terus daripada pemilik Palestin. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN