Zii Jia lakar kemenangan sulung selepas lama cedera

Zii Jia lakar kemenangan sulung selepas lama cedera

LEE Zii Jia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menerima sorakan luar biasa daripada penyokong tuan rumah sewaktu membenam wakil India, Prannoy H. S pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia, hari ini.

Zii Jia yang kini jatuh ke ranking No. 103 dunia meraih kemenangan straight set ke atas Prannoy yang berada di tangga ke-35 dunia 21-19, 21-11 dalam masa 35 minit.

Ini merupakan kemenangan sulung pemain berusia 27 tahun itu sejak kembali daripada rehat yang panjang akibat kecederaan.

Zii Jia mengalami kecederaan belakang dan buku lali yang mengganggu rentak permainannya sehingga memaksa dia berehat selama empat bulan.

Indonesia Masters yang merupakan penampilan ketiga Zii Jia selepas Terbuka Malaysia dan Terbuka India, menerima sorakan gemuruh daripada penyokong tuan rumah.

Istora Senayan yang terkenal mencabar, tetapi, penampilan anak jati Kedah itu satu pengecualian apabila disambut dengan sorakan gemuruh dan sokongan kuat daripada penonton, satu pemandangan luar biasa bagi pemain Malaysia di Jakarta.

Sambutan tersebut menyerlahkan populariti Zii Jia di pentas antarabangsa yang sekali gus membuktikan hubungan mesra yang telah dibina bersama peminat badminton di seluruh dunia.

Ia menjadi peringatan jelas bahawa tarikan bekas pemain perseorangan No. 1 negara itu melangkaui sempadan, apabila terus meraih kekaguman peminat antarabangsa walaupun beraksi di salah satu venue paling sukar untuk ditakluki.

Pada peringkat 16 terbaik, esok, Zii Jia yang mendapat perlindungan ranking terakhirnya iaitu No. 9 dunia sebelum ditimpa kecederaan bakal berdepan Panitchaphon Teeraratsakul dari Thailand. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN