KUALA LUMPUR: Beregu remaja negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting tersingkir seawal pusingan pertama selepas ditunjukkan dalam keluar pasangan No. 16 dunia, Rui Hirokami-Sayaka Hobara pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, hari ini.
Xin Yee-Carmen yang menghuni ranking ke-26 dunia tunduk di tangan beregu Jepun itu menerusi kekalahan straight set 16-21, 11-21 dalam masa 44 minit.
Kekalahan itu menyaksikan Hirokami-Hobara kini melebarkan rekod pertemuan ke atas Xin Yee-Carmen menjadi 2-0, selepas November lalu gandingan negara itu turut tumpas kepada lawan sama di Jepun Masters.
Xin Yee berkata, dia dan Carmen berusaha memberikan yang terbaik, tetapi, mereka sekali lagi tewas kepada Hirokami-Hobara buat kali kedua.
“Kita sebenarnya tak fikir menang atau kalah, kita cuba berikan tentangan kepada lawan, tetapi, kalah lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berakhir.
Kata Xin Yee, musim 2026 baru bermula, justeru, dia amat berharap tahun ini kedudukan ranking mereka dapat diperbaiki.
“Sebelum hujung tahun, kita cuba untuk capai kedudukan 20 terbaik dunia, kita akan cuba satu demi satu kejohanan dan cuba buat yang terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya.
Carmen pula berkata, tahun ini, dia dan Xin Yee turut menyasarkan untuk beraksi dalam Piala Uber dan kalau ada peluang sudah tentu cabaran itu sedia disahut mereka berdua.
Sementara itu, turut menerima nasib serupa, beregu campuran Malaysia, Jimmy Wong-Lai Pei Jing yang menghuni ranking ke-26 dunia selepas mereka tumpas di tangan pasangan No. 8 dunia, Tan Chung Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong 10-21, 9-21 dalam masa 34 minit.
Terbuka Malaysia merupakan penampilan sulung buat gandingan, Jimmy-Pei Jing, selepas mereka kali pertama dipasangkan pada pertengahan tahun lepas. – UTUSAN










