PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad dinasihatkan berehat panjang memandangkan pembedahan bukanlah pilihan terbaik pada usia beliau yang telah mencecah 100 tahun.
Anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, negarawan itu akan mengambil masa antara dua hingga tiga minggu untuk berehat kerana faktor usianya.
Beliau berkata, pakar-pakar kesihatan dari Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) menasihatkan agar Dr. Mahathir menjalani proses pemulihan biasa tanpa melibatkan pembedahan.
“Oleh kerana keadaan kesihatan beliau, tentulah kena ambil masa sikit, itu pun dalam dua tiga minggu juga untuk beliau berehat kerana faktor usia beliau mencecah 100 tahun.
“Pembedahan bukan satu opsyen yang baik. Kita telah dinasihatkan pakar-pakar IJN, HUKM untuk beliau melalui satu proses pemulihan biasa yang akan memakan masa sedikit.
“Ini supaya beliau boleh kembali sihat seperti biasa dan boleh kembali bertugas seperti sebelum ini,” kata Mukhriz menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook, Kapten B Khalifa.
Semalam, Dr. Mahathir disahkan mengalami keretakan pada bahagian pinggul kanan selepas terjatuh di kediamannya.
Menurut Pegawai Pejabat Dr. Mahathir, Sufi Yusuf, penilaian perubatan mendapati bekas Perdana Menteri itu mengalami kecederaan tersebut dan dijangka perlu dirawat serta dipantau di hospital untuk tempoh beberapa minggu. – UTUSAN











