GEORGETOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengukuhkan reputasinya sebagai Universiti APEX apabila projek Environmental Transformational Leadership (ETFL) yang dicetuskan Profesor Madya Dr Aziah Ismail meraih Anugerah Elite Malaysia Global Sustainability Award 2025, selain dianugerahkan Five-Star Recognition ESG Learning Centre 2025.
Projek ETFL dibangunkan secara akademik oleh Aziah bersama pelajar seliaannya, Aini Saadah Mohd Saod, pelajar PhD PPIP USM yang kini bertugas di Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Perak.
Ia memberi tumpuan kepada pembudayaan kepimpinan transformasi alam sekitar, pembentukan karakter, dan amalan lestari di sekolah-sekolah negeri Perak, termasuk Sekolah Murid Orang Asli (SMOA).
Anugerah berprestij ini dianjurkan Sustainable Business Network Association Malaysia (SustNET) dan mengiktiraf projek E.T.H.I.C.S @ SMOA (Environmental Transformational Leadership Inspiring Character & Sustainability) sebagai panduan kepimpinan sekolah yang berjaya menterjemah teori akademik kepada amalan sebenar di lapangan.
Menurut Aziah, ETFL mempunyai empat dimensi utama yang bertujuan menjadikan kepimpinan sekolah lebih berjiwa lestari dan berasaskan nilai.
“Inisiatif seperti ETFL membuktikan bahawa kepimpinan pendidikan mempunyai kuasa besar dalam membentuk generasi berkarakter dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Projek ini wajar dijadikan rujukan dan inspirasi kepada sektor pendidikan negara,” kata Aziah.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Profesor Madya Dr Rahimi Che Ahmad, turut merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan tersebut.
“Pencapaian ini membuktikan kekuatan ekosistem akademik PPIP USM dalam melahirkan penyelidikan dan idea yang berimpak tinggi.
“Sebagai Universiti APEX, USM sentiasa menggalakkan pemikiran inovatif dan penyelidikan yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kelestarian masa hadapan,” jelasnya.

Majlis penyampaian anugerah berlangsung di Pusat Kraf Kuala Lumpur, menghimpunkan tokoh kelestarian dari pelbagai sektor dan sekali gus mengiktiraf peranan kepimpinan pendidikan sebagai pemangkin perubahan lestari.
Pengiktirafan tersebut bukan sahaja memperkukuh amalan ETFL di sekolah-sekolah negeri Perak, malah menyerlahkan peranan universiti penyelidikan seperti USM dalam menyemai idea besar yang mampu diterjemahkan kepada tindakan nyata di peringkat akar umbi.-UTUSAN










