TQ WULING Bingo EV kini dipasang di Malaysia

TQ WULING Bingo EV kini dipasang di Malaysia

TQ WULING Bingo EV kini dipasang secara tempatan di fasiliti pembuatan milik Kumpulan Tan Chong di Segambut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TQ WULING memulakan pemasangan tempatan (CKD) untuk TQ WULING Bingo EV di Malaysia, menandakan komitmen jangka panjang jenama tersebut terhadap industri automotif Malaysia serta pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) negara.

TQ WULING Bingo EV kini dipasang secara tempatan di fasiliti pembuatan milik Kumpulan Tan Chong di Segambut, sebuah kilang yang terkenal dengan rekod prestasi kukuh dalam industri automotif serta mematuhi piawaian kualiti dan proses bertaraf antarabangsa,termasuk pensijilan ISO.

Menurut kenyataan bersama, kerjasama ini menggabungkan kepakaran global EV daripada SAIC-GM-Wuling (SGMW) dengan pengalaman luas Kumpulan Tan Chong dalam pembuatan tempatan, bagi memastikan kualiti bertaraf antarabangsa yang disesuaikan khas untuk pasaran Malaysia.

Katanya, bagi fasa awal, TQ Wuling mengamalkan pendekatan pengeluaran secara berperingkat, dengan fleksibiliti untuk meningkatkan kapasiti selaras dengan permintaan pasaran dan perkembangan segmen EV tempatan.

Ketua Perniagaan, TQ Manufacturing Sdn. Bhd., Wan Wei Sun berkata, permulaan pemasangan tempatan TQ WULING Bingo EV bukan sekadar pelancaran satu model, tetapi mencerminkan pelaburan jangka panjang serta keyakinannya terhadap Malaysia sebagai pasaran utama dan hab pengeluaran.

“Dengan menggabungkan keupayaan global EV daripada SGMW bersama warisan pembuatan kukuh Tan Chong yang telah terbina selama berdekad, kami membina kepercayaan melalui kualiti, memperkukuh ekosistem tempatan serta meletakkan asas bagi pertumbuhan mampan pada masa hadapan,” katanya.

TQ WULING Bingo EV merupakan kenderaan elektrik pertama yang dipasang secara tempatan di Pusat Pemasangan Tan Chong dan ditawarkan pada harga strategik, menjadikannya lebih mudah diakses oleh golongan pengguna yang lebih luas.

Dibangunkan dengan penekanan tinggi terhadap aspek keselamatan, Bingo EV menetapkan penanda aras baharu sebagai model EV pertama di pasaran yang dilengkapi enam beg udara serta struktur badan yang mengintegrasikan keluli ultra-berkekuatan tinggi 1,500 MPa.

Rangka yang diperkukuh ini bukan sahaja meningkatkan ketegaran struktur, malah direka untuk menyerap impak dengan berkesan, sekaligus memberikan perlindungan yang lebih baik  kepada penumpang.

“Ditawarkan dalam dua varian lengkap, iaitu Bingo PRO dan Bingo MAX, model ini masing-masing berharga RM67,800 dan RM72,800,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN