PETALING JAYA: Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menjadi harapan terakhir Malaysia turut tersingkir di separuh akhir, selepas beregu No. 2 dunia itu dikejutkan wakil Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita pada Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi, India, hari ini.
Beregu lelaki No. 1 negara itu tunduk kepada Midorikawa-Yamashita yang menghuni ranking ke-22 dunia 10-21, 21-13, 11-21 dalam masa 44 minit.
Kegagalan Aaron-Wooi Yik, bermakna tiada wakil Malaysia yang berjaya menjejakkan kaki ke perlawanan akhir, selepas beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah turut tersingkir dalam aksi yang berlangsung lebih awal.
Kekalahan Aaron-Wooi Yik itu juga membuka laluan kepada Midorikawa-Yamashita menyamakan kedudukan rekod pertemuan kedua-dua beregu kepada 1-1.
Ketiadaan wakil negara pada perlawanan akhir, gagal mengulangi pencapaian edisi lalu apabila bekas pasangan No. 1 dunia, Goh Se Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani merangkul gelaran beregu lelaki.
Fokus Aaron-Wooi Yik pula sudah boleh dialihkan kepada Indonesia Masters yang bermula, minggu depan dengan beregu No. 2 dunia itu diletakkan sebagai pilihan pertama.
Mereka akan membuka aksi menentang beregu No. 28 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark di peringkat 32 terbaik pada Selasa.
Pearly-Thinaah yang juga akan terbang ke Jakarta, turut diletakkan sebagai pilihan pertama dan bakal bertemu beregu ke-36 dunia, Francesca Corbett-Jennie Gai dari Amerika Syarikat pada pusingan awal. – UTUSAN










