KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Lee Chong Wei mengesahkan, Datuk Tey Seu Bock dinaikkan pangkat semula membimbing perseorangan lelaki senior dalam masa terdekat.
Seu Bock yang ketika ini menggalas tugas ketua jurulatih perseorangan remaja mendapat semula jawatan lamanya selepas cadangan itu diluluskan bersama Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen.
“Saya boleh sahkan Seu Bock akan naik ke senior. Perkara ini telah dibincangkan bersama Jonassen. Beliau mahu Seu Bock bekerjasama dengan beberapa jurulatih lain.
“Saya belum sahkan sepenuhnya (barisan lain) kerana baharu dapat bajet semalam (kelmarin). Kami perlu susun semula barisan jurulatih BAM. Saya rasa minggu depan, Datuk Kenny Goh akan membuat pengumuman,” kata Chong Wei kepada pemberita di Axiata Arena di sini, semalam.
Dalam pada itu, Chong Wei turut mendedahkan bahawa BAM akan menstruktur semula barisan kejurulatihan ABM dalam masa terdekat ini.
Menurutnya, BAM merancang untuk menambah lima hingga enam jurulatih baru bagi pasukan senior dan remaja sekali gus, dengan keutamaan diberikan kepada jurulatih tempatan bagi mengekalkan kepakaran dalam negara.
“Majoritinya (yang dipilih) jurulatih tempatan, dan jika tidak terdapat calon sesuai, barulah kami akan pertimbangkan jurulatih dari luar negara.
“Keutamaan kami adalah menambah jurulatih berkualiti dan memastikan semua keputusan dibuat dengan fokus kepada kepentingan pemain dan pembangunan badminton Malaysia,” katanya.
Seu Bock merupakan arkitek penting di sebalik kegemilangan Chong Wei di pentas dunia, termasuk membantu legenda negara itu meraih tiga pingat perak Sukan Olimpik di Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016, selain mengiringi kejayaan pelbagai gelaran utama antarabangsa sepanjang kariernya.
Menyertai BAM sejak 2002, Seu Bock bermula sebagai pembantu kepada Datuk Misbun Sidek sebelum dilantik sebagai jurulatih tetap Chong Wei pada awal 2011, selain pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih wanita kebangsaan dan kemudiannya mengetuai skuad perseorangan remaja negara bermula Januari tahun lalu. – UTUSAN










