BARCELONA: Barcelona kembali merampas kedudukan teratas La Liga selepas menewaskan Real Oviedo 3-0 dalam perlawanan di Camp Nou awal pagi tadi.
Dani Olmo membuka tirai jaringan pada babak kedua selepas Barcelona bergelut menembusi benteng pertahanan pelawat dalam separuh masa pertama.
Raphinha menggandakan kelebihan tuan rumah apabila mengambil kesempatan daripada kesilapan hantaran belakang Oviedo untuk menewaskan penjaga gol lawan.
Jaringan ketiga Barcelona hadir menerusi sentuhan istimewa Lamine Yamal yang menyempurnakan hantaran Olmo dengan sepakan gunting mengagumkan.
Walaupun Oviedo menghuni tangga tercorot liga, pasukan pelawat memberi tentangan sengit sebelum kualiti Barcelona membezakan kedua-dua pasukan.
Kemenangan itu membolehkan Barcelona memintas semula Real Madrid dengan kelebihan satu mata di puncak carta liga.
Aksi tersebut turut menyaksikan Camp Nou yang sebahagiannya dibuka kembali dilanda hujan lebat ketika perlawanan hampir berakhir. – AGENSI










