KUALA LUMPUR: Bintang No. 1 dunia, An Se Young berjaya meletakkan dirinya sebagai legenda badminton dunia dalam usia 23 tahun selepas terus mendominasi Jelajah Dunia dan hari ini, dia mencipta hatrik menjuarai Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Dalam perlawanan akhir berdepan jaguh No. 2 dunia, Wang Zhi Yi, pemain Korea Selatan tersebut mengambil masa selama 56 minit untuk membenam wakil China itu 21-15, 24-22.
Kejayaan tersebut menyaksikan Se Young mencipta hatrik pada Terbuka Malaysia, selepas turut merangkul gelaran pada edisi 2024 dan 2025.
Sepanjang tahun lalu, sehinggalah Terbuka Malaysia 2026, Se Young telah merangkul 12 gelaran daripada 13 perlawanan akhir.
Satu-satunya kejohanan yang gagal dimenanginya adalah pada perlawanan akhir Terbuka Korea yang menyaksikan Se Young tumpas di tangan bintang Jepun, Akane Yamaguchi.
Berdepan Zhi Yi pula, sebanyak 17 kemenangan berjaya dilakar Se Young berbalas empat kekalahan.
Selaku juara Terbuka Malaysia yang berstatus Super 1,000, Se Young membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$101,500 (RM415,490) beserta pingat emas.
Se Young ketika ditemui pemberita berkata, dia gembira dengan kejayaan yang dicapainya pada Terbuka Malaysia, ia merupakan satu permulaan positif pada tahun ini.
Ketika ditanya sama ada dia akan menyertai Terbuka India, kata Se Young, dia masih belum memberi kata putus untuk menyertai kejohanan berstatus Super 750 tersebut ataupun tidak.
“Saya akan cuba sedaya yang mampu, jika, badan saya tidak mengizinkan, saya akan berehat sebentar.
“Saya akan tetap pergi ke India, tetapi, jika ada kecederaan, saya memilih untuk menarik diri, lebih baik saya menjaga keadaan fizikal saya terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu, pada final beregu wanita, gandingan No. 1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China menewaskan pasangan No. 6 dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 21-18, 21-12 dalam masa 1 jam 7 minit.
Bagi perlawanan akhir beregu campuran yang menyaksikan pertembungan dua pasangan China, berkesudahan Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping mengetepikan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-19, 21-19 dalam masa 45 minit.
Dalam pada itu, perseorangan lelaki No. 2 dunia, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand merangkul gelaran sulung Super 1,000 selepas menewaskan jaguh No. 1 dunia, Shi Yu Qi 23-21, 6-1 dalam masa 38 minit.
Juara dunia dari China itu yang juga juara bertahan Terbuka Malaysia mengambil keputusan menarik diri pada set kedua ekoran kecederaan. – UTUSAN










