‘Saya dilantik oleh Tan Sri Muhyiddin’

‘Saya dilantik oleh Tan Sri Muhyiddin’

SAHRUDDIN JAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal menegaskan beliau dilantik menjawat jawatan tersebut susulan kepercayaan diberi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu katanya, sebarang ketidakpuasan terhadap perkara tersebut seharusnya dibincangkan melalui saluran dalaman parti.

“Kuasa melantik saya sebagai BPN Johor adalah Tan Sri Muhyiddin sebagai presiden parti. Jadi tidak wajar buat mereka mengadakan sidang akhbar seperti semalam.

“Sebaliknya saluran yang betul adalah dengan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan parti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Datuk Isa Ab. Hamid dilaporkan berkata seramai 14 Ketua Bahagian Bersatu di negeri ini telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Dr. Sahruddin dan mahu jawatan tersebut dipikul individu lain.

Katanya, kepimpinan tertinggi parti boleh memilih mana-mana individu daripada 26 ketua bahagian yang ada di negeri ini untuk jawatan tersebut.

Sementara itu, Sahruddin berkata, pihaknya turut meragui dakwaan bahawa terdapat 14 bahagian bersatu Johor yang diwakili ketua bahagian masing-masing menolak beliau.

“Mereka (kumpulan tersebut) dakwa ada 14 ketua bahagian, namun saya meraguinya. Jumlah sebenar ketua bahagian yang terlibat hanyalah seramai sembilan orang dan bukannya 14 seperti yang didakwa.

“Bagaimanapun, saya tidak mempunyai masalah untuk terus bekerjasama dengan semua ketua bahagian di negeri ini, kedana fokus kita adalah untuk berdepan pilihan raya akan datang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Setiausaha BPN Bersatu Johor, Samsudin Ismail berkata, jumlah sebenar ketua bahagian yang terlibat hanyalah sembilan orang sekali gus menafikan dakwaan bahawa majoriti ketua bahagian telah hilang kepercayaan terhadap Sahruddin.

Tambahnya, perbuatan itu disifatkan bertujuan untuk mengelirukan dan disengajakan bagi mencetuskan persepsi negatif terhadap parti.

“Cubaan mewujudkan persepsi seolah-olah kepimpinan negeri telah gagal adalah satu dakwaan tidak berasas dan bertentangan dengan fakta sebenar,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN