PETALING JAYA: Pemain veteran negara, M. Sasidaran bersama dua pemain amatur, Farez Azihan dan Zia Iqmal Abdul Rashid mengesahkan tempat ke Kejohanan Golf PKNS Selangor Masters 2026.
Ketiga-tiga mereka selepas muncul sebagai pemain terbaik dalam Kejohanan Kelayakan 36 lubang yang berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor, 27 dan 28 Januari lalu.
Sasidara, 49, membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila mencatat pukulan 72 dan 76 untuk jumlah empat atas par 148 di lapangan mencabar Seri Selangor sekali gus berkongsi kedudukan teratas bersama Farez, 25, yang mencatat dua pusingan konsisten 74, 74, manakala Zia, 27, menamatkan saingan satu pukulan di belakang dengan catatan 75 dan 74.
Ketiga-tiga pemain itu kini akan menyertai kejohanan pembuka tirai musim Jelajah Pembangunan Asia (ADT) bernilai AS$175,000 yang dijadual berlangsung pada 11 hingga 14 Februari ini, membabitkan penyertaan 80 pemain ADT, 40 pemain Jelajah Golf Profesional Malaysia (PGM) serta 24 pemain undangan.
Sasidaran berkata, penyertaan kali ini menjadi penampilan ke-11 dalam kejohanan tersebut, selepas hanya terlepas edisi tahun lalu.
Menurutnya, pencapaian terbaiknya ialah berkongsi tempat kesembilan pada edisi sulung 2007, selain menamatkan saingan di tempat ke-24 bersama pada 2022 dan ke-27 bersama pada 2011.
“Saya sangat gembira dapat melayakkan diri ke PKNS Selangor Masters tahun ini, kejohanan yang sangat dekat di hati saya.
“Saya bermain dengan baik minggu ini dan juga sangat biasa dengan lapangan Seri Selangor, jadi kelebihan sebagai ‘pemain tempatan’ banyak membantu,” katanya.
Sementara itu, Farez mengungkapkan bahawa dirinya teruja dapat kembali beraksi buat kali kedua selepas gagal melepasi cut pada edisi lalu dan berharap dapat muncul sebagai pemain amatur terbaik kejohanan kali ini.
“Pukulan putting saya menjadi dengan baik, yang memberi keyakinan tinggi di green. Saya sangat bersyukur diberi peluang bertanding dalam PKNS Selangor Masters buat kali kedua. Sasaran saya ialah muncul sebagai pemain amatur terbaik dalam kejohanan ini,” katanya.
Pada masa sama, Zia menganggap penyertaan tahun ini lebih bermakna kerana ia merupakan penampilan sulungnya sebagai pemain profesional, selepas dua kali menyertai kejohanan tersebut sebagai pemain jemputan skuad kebangsaan sebelum ini.
“PKNS Selangor Masters tahun ini berbeza buat saya kerana ia kejohanan pertama saya sebagai pemain profesional dan saya sangat teruja.
“Rancangan saya tahun ini ialah bermain dalam semua kejohanan Jelajah PGM dan cuba mendapatkan kad Jelajah All-Thailand menjelang hujung tahun,” katanya.
Seramai 36 pemain termasuk 19 pemain amatur menyertai kejohanan kelayakan tersebut yang berlangsung serentak dengan dua pusingan awal Sekolah Kelayakan Jelajah PGM. – UTUSAN










