KUALA LUMPUR: Perkembangan rundingan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan, rasional membenarkan kemasukan murid ke Tahun Satu pada usia enam tahun serta langkah kawal selia terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) Grok antara perkara yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) meminta Menteri Luar menyatakan perkembangan terkini proses rundingan COC di Laut China Selatan serta peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam usaha memuktamadkan kod berkenaan.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai kedudukan keselamatan di perairan Batu Puteh selain langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh kerajaan bagi menangani isu tersebut pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Dalam sesi sama, Datuk Mumtaz Md. Nawi (PN-Tumpat) meminta Menteri Komunikasi menyatakan langkah susulan susulan sekatan sementara akses AI Grok di Malaysia termasuk aspek kawal selia, penguatkuasaan, pemantauan berterusan serta langkah jangka panjang bagi melindungi kumpulan rentan daripada kandungan berbahaya di media sosial.
Sementara itu, Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) meminta Menteri Pendidikan menjelaskan rasional membenarkan kemasukan murid ke Tahun Satu pada usia enam tahun serta sama ada kementerian telah menjalankan kajian empirikal atau penilaian impak sebelum cadangan tersebut dibuat dan dibentangkan kepada Dewan.
Bagi sesi soal jawab lisan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) meminta Menteri Kewangan menyatakan strategi kerajaan dalam menangani bayaran khidmat hutang yang dijangka mencecah 16.3 peratus daripada jumlah hasil kerajaan pada 2025, selain langkah penstrukturan semula hutang bagi mengurangkan beban tersebut dalam jangka sederhana dan panjang.
Selesai sesi soal jawab lisan, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung semula perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja. Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 20 hingga 3 Mac ini. – UTUSAN










