PETALING JAYA: Selangor FC mengukuhkan jentera serangan mereka bagi baki musim ini dengan kehadiran penyerang import dari Brazil, Vítor Pernambuco, yang diumumkan sebagai rekrut terbaharu skuad Red Giants.
Pemain berusia 27 tahun itu merupakan aset versatil di bahagian hadapan, mampu beraksi sebagai penyerang utama mahupun di posisi sayap.
Dengan ketinggian 1.87 meter, Pernambuco dijangka membawa elemen fizikal, kelajuan serta variasi serangan yang lebih agresif dalam taktikal Selangor.
Dilahirkan di Igarassu, Brazil, Pernambuco memulakan karier profesional selepas meniti perkembangan bersama Portuguesa sebelum melebarkan sayap ke Eropah.
Beliau pernah beraksi di Ukraine bersama FC Lviv, selain menimba pengalaman di Georgia, Norway dan Moldova termasuk bersama FC Sheriff Tiraspol yang terkenal dengan pencapaian di pentas Eropah.
Kariernya turut membawanya ke Kazakhstan dan Hungary sebelum kembali ke tanah air bagi beraksi dalam saingan Serie B Brazil bersama beberapa kelab termasuk Juventude dan Operário Ferroviário.
Dikenali sebagai pemain yang berani mencabar pertahanan lawan, memiliki naluri jaringan serta kebolehan mencipta peluang, kehadiran Pernambuco dilihat sebagai usaha Selangor FC untuk menambah kedalaman, pengalaman dan dimensi baharu di barisan serangan.
Pernambuco mengakui teruja menyarung jersi Selangor dan berazam memberi impak segera buat pasukan, selain tidak sabar merasai sokongan padu penyokong setia Red Giants dalam misi memburu kejayaan pada baki musim ini.-UTUSAN










