Selangor belum boleh tarik nafas lega

Selangor belum boleh tarik nafas lega

Faisal Halim muncul wira Selangor FC menewaskan Cong An Hanoi dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin - IHSAN SELANGOR FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kapten Selangor FC, Faisal Halim mengingatkan rakan sepasukan agar tidak dibuai prestasi semasa meskipun skuad Gergasi Merah meraih kemenangan penting 2-0 ke atas Cong An Hanoi dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), kelmarin.

Pada perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, Faisal muncul wira apabila menjaringkan dua gol untuk memastikan Selangor meraih tiga mata berharga, sekali gus menguasai carta Kumpulan A dengan lapan mata ketika saingan masih berbaki satu perlawanan.

Pemain sayap lincah itu menegaskan kedudukan tersebut belum menjamin tiket ke separuh akhir memandangkan Selangor masih boleh dipintas BG Pathum United yang hanya ketinggalan satu mata di belakang.

Menurut Faisal, kemenangan ke atas wakil Vietnam itu dianggap sebagai perlawanan ‘hidup mati’ buat pasukan dan kejayaan tersebut wajar dijadikan pembakar semangat, bukan alasan untuk berasa selesa.

“Perlawanan ini sangat penting buat Selangor dan tiga mata ini amat bermakna dalam usaha kami untuk mara ke separuh akhir.

“Saya harap semua pemain kekal fokus dan tidak leka kerana masih ada satu lagi perlawanan yang perlu ditempuh untuk mengesahkan kemaraan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Pemain berusia 29 tahun itu turut enggan terbuai dengan pujian melambung yang diterimanya selepas menampilkan prestasi konsisten apabila telah meledak 17 gol dalam semua kejohanan musim ini.

“Saya hanya mahu berikan yang terbaik setiap kali diturunkan. Sama ada menjaringkan gol atau tidak, yang penting pasukan menang.

“Kemenangan ini adalah hadiah buat penyokong yang sentiasa berada di belakang kami,” katanya yang mesra disapa Mickey.

Skuad kendalian Kim Pan Gon itu akan mengalihkan tumpuan kepada saingan Liga Super apabila dijadualkan menentang Terengganu FC pada Ahad ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN