PETALING JAYA: Pemain kelahiran Perancis, Hugo Boumous menjadi senjata baharu Selangor FC bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga M),musim ini.
Arkitek tengah berusia 31 tahun itu mendedahkan dia memilih untuk menyertai Gergasi Merah kerana percaya kelab berkenaan mempunyai cita-cita yang besar.
“Bagi saya, Selangor FC sebuah kelab hebat dan mempunyai penyokong yang penuh semangat di Malaysia. Ia cukup meyakinkan saya untuk ke sini sejak dari awal lagi.
“Selain itu, rakan sepasukan di sini juga pemain yang berkualiti dengan barisan jurulatih terbaik. Saya dapat rasakan kelab ini mempunyai cita-cita yang besar.
โJadi saya sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Selangor FC musim ini,” katanya.
Boumous memulakan kariernya bersama Stade Laval B dengan mencatat 51 penampilan dan menjaringkan 11 gol sebelum dinaikkan ke skuad utama Stade Lavallois yang mana dia beraksi dalam Ligue 2 dan Coupe de France dengan tiga penampilan serta meledak dua gol.
Dia kemudiannya berpindah ke Maghribi untuk menyertai Moghreb Tetouan dan mencatat 31 penampilan dengan empat bantuan gol.
Namanya mencuri perhatian di Liga Super India (ISL) dengan prestasi cemerlang bersama beberapa kelab dan pernah dinobat sebagai pemain terbaik liga dengan menerima anugerah ISL Golden Ball musim 2019-20 selepas mencatat 47 penampilan, 20 gol serta 19 bantuan jaringan bersama FC Goa.
Selepas itu, Boumous menyertai Mumbai City dengan menyumbang enam jaringan dan 10 bantuan gol dalam 16 perlawanan sebelum meneruskan penampilan cemerlangnya bersama Mohun Bagan SG.
Bersama Mohun Bagan, dia merekod 70 penampilan, 14 jaringan dan 19 bantuan gol, sekali gus membantu kelab itu meraih beberapa kejuaraan domestik termasuk dua ISL League Shield, dua gelaran Juara Playoff ISL, Piala Durand dan Piala Super.
Kelab terakhir yang disertainya sebelum bersama Selangor adalah Odisha FC dengan dia memainkan peranan penting sebagai arkitek serangan pasukan itu termasuk menyumbang enam jaringan dan tujuh bantuan gol dalam 22 perlawanan. – UTUSAN










