Perintah Khidmat Masyarakat pesalah buang sampah berkuat kuasa hari ini

Perintah Khidmat Masyarakat pesalah buang sampah berkuat kuasa hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) mula berkuat kuasa hari ini sebagai hukuman untuk menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat awam.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataannya semalam memaklumkan, pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat itu akan berkuat kuasa di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, dan Kedah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, pelaksanaan perintah berkenaan di Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu yang tidak menggunakan Akta 672 bakal bermula secepat mungkin tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri masing-masing.

“Hukuman ini dilaksanakan menerusi pindaan Akta 672 yang telah diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos 2025 dan dibentangkan di Dewan Negara pada bulan yang sama.

“Akta 672 akan dikuatkuasakan bersama-sama Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171),” kata kenyataan itu.

Selain Perintah Khidmat Masyarakat, KPKT memaklumkan, pesalah juga boleh dikenakan denda antara RM2,000 dan RM10,000 bagi kesalahan sama.

Katanya, penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat itu adalah sebagai tambahan kepada denda tersebut dan bukan bertujuan menggantikan denda sedia ada.

“Walau bagaimanapun, hukuman Perintah Khidmat Masyarakat hanya boleh diperintahkan kepada pesalah selepas disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

“Pesalah yang disabitkan dengan hukuman ini perlu menjalani Perintah Khidmat Masyarakat sehingga 12 jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan,” katanya.

Jelas KPKT, Perintah Khidmat Masyarakat merangkumi aktiviti berkaitan kebersihan termasuk mengutip sisa pepejal, mencuci, memotong rumput dan membersihkan sarang labah-labah.

“Undang-undang tidak menghendaki pesalah menghabiskan tempoh 12 jam dalam satu sesi berterusan. Penjadualan dan pengawasan akan ditentukan oleh pegawai yang diberi kuasa mengikut perintah mahkamah,” jelasnya.

Menurut KPKT, tindakan enggan, melawan, gagal mematuhi atau melarikan diri daripada Perintah Khidmat Masyarakat merupakan satu kesalahan berasingan di bawah peruntukan undang-undang yang dipinda.

“Jika disabitkan kesalahan atas ketidakpatuhan tersebut, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat bertujuan mendidik dengan objektif keseluruhan langkah itu adalah untuk menanam kesedaran, tanggungjawab serta rasa hormat terhadap kebersihan alam sekitar dan bukannya menghukum secara berlebihan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN