KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin mendapat ‘talian hayat’ bagi menyakinkan barisan kejurulatihan selepas mencipta kejutan ke atas pasangan No. 12 dunia, Mathias Christiansen-Alexandre Boje pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, semalam.
Gandingan yang menghuni ranking ke-21 dunia itu mengambil masa selama 1 jam 12 minit untuk menumbangkan beregu berpengalaman Denmark tersebut 20-22, 21-18, 21-17.
Kejayaan sulung Pang Ron-Su Yin pada Terbuka Malaysia itu juga membuka laluan buat wakil negara tersebut merapatkan jurang rekod pertemuan 1-2 dengan Christiansen-Boje.
Pang Ron-Su Yin yang dilanda kemerosotan prestasi sepanjang tahun lalu, telah mendorong ketua jurulatih beregu negara, Nova Widianto menilai semula gandingan itu untuk dipecahkan jika terus ditimpa kekalahan.
Namun, berikutan kejutan besar ke atas beregu handalan Denmark itu, Pang Ron-Su Yin mungkin layak diberi peluang kedua bagi membuktikan gandingan mereka masih kekal relevan.
Su Yin ketika ditemui pemberita selepas perlawanan tamat berkata, kemenangan tersebut memberi suntikan semangat untuk terus mencipta kejayaan dalam karier mereka.
“Saya rasa sangat puas hati and gembira sebab ini kemenangan pertama kami pada Terbuka Malaysia, jadi, saya harap dapat meneruskan momentum ini,” katanya.
Jelas anak jati Kedah itu, dia enggan terlalu memikirkan tentang peluang mereka pada pertemuan itu bagi mengelak sebarang tekanan yang tidak diundang.
“Saya berterima kasih kepada pasangan saya yang asyik cakap dengan saya ‘tak apa, boleh-boleh, satu-satu’,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai pencabar yang bakal ditemui pada pusingan kedua, Pang Ron pula berkata, sukar untuk dia meneka lawan yang akan ditentangnya, tetapi, seandainya rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menanti mereka, sekurang-kurangnya Malaysia sudah memiliki satu wakil di suku akhir.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi beregu campuran, gandingan profesional, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien menarik diri sewaktu ketinggalan 2-14 kepada pasangan No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China. – UTUSAN










