PETALING JAYA: Penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang bermula hari ini menggariskan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna khususnya kanak-kanak dan keluarga.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian.
Katanya, ia termasuk pelaksanaan langkah keselamatan mengikut tahap risiko, perlindungan khusus untuk kanak-kanak serta mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.
“ONSA terpakai terhadap pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP) atau lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) atau lesen Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
“Bagaimanapun, ia tidak terpakai terhadap pengguna individu,” kata kenyataan itu.
Menurut MCMC, peruntukan deeming di bawah seksyen 46A, AKM 1998 turut berkuat kuasa hari ini.
Sehubungan itu, katanya, semua platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan akan tertakluk di bawah kerangka pelesenan sedia ada dan perlu mematuhi undang-undang Malaysia termasuk ONSA.
“Secara keseluruhan, langkah-langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan kawal selia yang berstruktur dan berperingkat bagi memastikan platform dalam talian berskala besar yang beroperasi di Malaysia tertakluk kepada pengawasan dan akauntabiliti yang bersesuaian.
“Seiring dengan perkembangan ekosistem dalam talian di Malaysia, MCMC kekal komited untuk bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan, ibu bapa dan pendidik, agensi penguatkuasaan undang-undang, pertubuhan masyarakat sivil serta komuniti secara menyeluruh bagi menyokong persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua pengguna,” katanya. – UTUSAN










