Misi sukar menanti Sze Fei-Izzuddin pertahan gelaran

Misi sukar menanti Sze Fei-Izzuddin pertahan gelaran

AKSI beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin di Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki No. 7 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani bakal berdepan laluan getir dalam usaha mereka mempertahankan gelaran menjelang Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi, Selasa ini.

Kemerosotan prestasi yang dialami gandingan No. 3 Malaysia itu sejak merangkul gelaran Terbuka India pada tahun lalu dan yang terbaru, mereka tersingkir seawal pusingan kedua di Terbuka Malaysia, menyaksikan peluang Sze Fei-Izzuddin pada edisi kali ini diragui.

Seawal pusingan pertama pada Selasa, bekas pasangan No. 1 dunia itu akan menghitung pertemuan dengan beregu dua negara iaitu Korea Selatan dan Malaysia, Choi Sol Gyu-Goh V Shem.

Jika melepasi halangan itu, Sze Fei-Izzuddin berpotensi berdepan beregu handalan England, Ben Lane-Sean Vendy yang menghuni ranking ke-16 dunia pada peringkat 16 terbaik.

Lane-Vendy merupakan beregu yang menunjukkan jalan keluar kepada Sze Fei-Izzuddin di pusingan kedua dan sekiranya mereka mengulangi persembahan yang dipamerkan di Axiata Arena, Khamis lalu, maka, pasangan profesional itu berpotensi tersingkir awal lagi.

Namun, seandainya berjaya melepasi pusingan kedua, Sze Fei-Izzuddin berkemungkinan besar bertemu rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang merupakan beregu No. 2 dunia di suku akhir.

Pendek kata, laluan yang cukup berliku terpaksa diharungi Sze Fei-Izzuddin dalam perjalanan mereka ke pentas akhir bagi mempertahan gelaran yang dimenangi.

Sze Fei-Izzuddin yang menggunakan khidmat bekas beregu No. 1 dunia, Koo Kien Keat pada Terbuka Malaysia, tidak berbuat demikian pada Terbuka India nanti.

Ini bermakna Sze Fei-Izzuddin hanya akan menggunakan khidmat jurulatih, Teo Kok Siang sewaktu di New Delhi.

Izzuddin berkata, dia dan Sze Fei perlu berbincang semula dengan jurulatih bagi memperbaiki sebarang kelemahan menjelang Terbuka India.

“Kita akan cuba buat yang terbaik, kita kena berbincang balik dengan jurulatih, tengok apa yang perlu diperbaiki,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena, Khamis lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN