PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 6 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun memilih untuk tidak menyertai kejohanan badminton di Eropah selepas tersingkir pada suku akhir All England di Utilita Arena Birmingham, England, kelmarin.
Wei Chong berkata, perjuangan mereka di Eropah sudah selesai di Eropah dan selepas ini, memilih untuk berehat seketika bagi memberi laluan kepada proses pemulihan.
“Saya berasa lebih baik berbanding minggu lepas. Saya rasa kerana minggu lepas sesi latihan saya juga tidak begitu baik.
“Tetapi minggu ini saya telah berikan yang terbaik dan saya harap dapat pulih sepenuhnya juga,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir, kelmarin.
Wei Chong berkata demikian bagi mengulas isu kecederaan lutut yang dialaminya sebelum All England sehingga memaksa dia dan Kai Wun tidak menyertai Terbuka Jerman, minggu lepas.
Sewaktu ditanya pula mengenai aksi suku akhir menentang beregu No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, kata Wei Chong, pada permulaan set ketiga, mereka telah melakukan banyak kesilapan mudah.
“Kemudian corak permainan kami menjadi perlahan dan keyakinan kami sedikit menurun pada set ketiga. Jadi mungkin itu kesilapannya,” katanya mengulas punca kekalahan kepada beregu senior tersebut.
Kai Wun pula berkata, kedua-dua beregu telah bermain dengan sangat baik, cuma pada set ketiga, terutamanya 11 mata pertama, mereka bermain agak perlahan.
“Pihak lawan seolah-olah sudah tahu corak permainan kami dan kami gagal mengejar. Jadi kami kehilangan banyak mata di situ,” katanya.
Beregu No. 1 Malaysia, Aaron-Wooi Yik menundukkan Wei Chong-Kai Wun 21-16, 20-22, 21-14 dalam masa 1 jam 1 minit di suku akhir. – UTUSAN










