MARSEILLE: Liverpool meneruskan rentak positif dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah apabila menewaskan Olympique de Marseille 3-0, awal pagi tadi sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah kepada 13 perlawanan dalam semua kejohanan.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Arne Slot mengumpul 15 mata untuk kekal kukuh dalam kelompok lapan terbaik dan hanya selangkah lagi mengesahkan kemaraan automatik ke pusingan 16 terakhir.
Gol Liverpool hadir menerusi sepakan percuma Dominik Szoboszlai pada penghujung babak pertama, sebelum gol kedua terhasil daripada jaringan sendiri penjaga gol Marseille, Geronimo Rulli, pada minit ke-73.
Cody Gakpo melengkapkan kemenangan The Reds dengan gol ketiga pada masa kecederaan.
Marseille yang kini menghuni tangga ke-19 fasa liga. mengumpul sembilan mata dan masih berpeluang ke slot play-off, namun perlu mencatat keputusan positif apabila berdepan Club Brugge dalam aksi terakhir.
Liverpool dijadual menerima kunjungan Qarabag dalam aksi terakhir, dengan satu lagi kemenangan sudah mencukupi untuk mengesahkan tempat dalam pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.-AGENSI










