Liverpool rebah di Vitality

Liverpool rebah di Vitality

PERTAHANAN Kanan Liverpool, Jeremie Frimpong diasak pemain Bournemouth pada aksi Liga Perdana Inggeris(EPL) awal pagi tadi-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOURNEMOUTH: Impian Liverpool untuk meneruskan rentetan tanpa kalah lebur di Stadium Vitality apabila Bournemouth melakar kemenangan dramatik 3-2 ke atas The Reds, hasil jaringan saat akhir Amine Adli pada minit ke-95, awal pagi tadi.

Keputusan itu bukan sahaja menamatkan rekod 13 perlawanan tanpa kalah Liverpool, malah menyalakan amaran bahaya buat pengurus mereka, Arne Slot, yang kini berdepan tekanan susulan prestasi tidak konsisten pasukannya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bournemouth terlebih dahulu mengejutkan pasukan pelawat menerusi dua jaringan pantas dalam separuh masa pertama hasil sentuhan penyudah Evanilson dan Alex Jimenez, berpunca daripada kelekaan barisan pertahanan Liverpool.

The Reds bagaimanapun mempamerkan kebangkitan apabila kapten, Virgil van Dijk menebus kesilapannya dengan gol tandukan, sebelum Dominik Szoboszlai menyamakan kedudukan untuk menghidupkan kembali harapan pelawat.

Namun, ketika Liverpool dilihat semakin menguasai permainan, Bournemouth menghukum mereka sekali lagi apabila Adli meledak gol kemenangan menerusi sepakan terakhir perlawanan, sekali gus menghadiahkan tuan rumah kemenangan kedua dalam 15 aksi liga musim ini.

Kekalahan itu berpotensi menyaksikan Liverpool tercicir daripada kelompok empat teratas EPL, bergantung kepada keputusan perlawanan lain malam ini.

Slot, yang membawa Liverpool menjuarai EPL musim lalu, sebelum ini dipuji kerana menstabilkan pasukan selepas permulaan hambar kempen.

Namun, kegagalan meraih kemenangan dalam lima perlawanan liga berturut-turut kini mengundang kritikan terhadap pendekatan taktikalnya.

Walaupun Liverpool tampil meyakinkan dalam saingan Eropah dengan kemenangan 3-0 ke atas Marseille pertengahan minggu lalu, masalah sama terus menghantui mereka di pentas domestik, khususnya kelemahan pertahanan dan ketumpulan penyudah ketika berdepan pasukan EPL.

Kecederaan Joe Gomez yang memaksa Liverpool beraksi dengan 10 pemain seketika turut menambah derita pasukan pelawat, dalam satu malam yang jelas memihak kepada Bournemouth dan meninggalkan Slot dengan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN