KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani tersingkir selepas tewas kepada wakil England, Ben Lane-Sean Vendy pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking No. 7 dunia itu tunduk straight set 13-21, 17-21 dalam masa 42 minit di tangan beregu ke-16 dunia tersebut.
Kekalahan itu juga menyaksi beregu lelaki No. 3 Malaysia berkenaan ketinggalan 0-2 di belakang Lane-Vendy selepas Sze Fei-Izzuddin turut tumpas kepada lawan yang sama pada Terbuka Denmark, tahun lalu.
Sze Fei-Izzuddin yang mendapatkan bantuan kejurulatihan daripada bekas beregu No. 1 dunia, Koo Kien Keat tidak mampu mengubah rentak pasangan tersebut untuk mara lebih jauh pada Terbuka Malaysia yang berstatus Super 1,000.
Untuk rekod, pencapaian tertinggi beregu itu pada Terbuka Malaysia adalah pada edisi 2023 apabila mereka hanya mampu mara sehingga ke pusingan kedua.
Kali ini, Sze Fei-Izzuddin mengulangi pencapaian sama pada tahun ini, apabila terkandas di peringkat 16 terbaik sekali lagi. – UTUSAN










