KUALA LUMPUR: Sebanyak tujuh kali mencuba, Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih gagal menemui jawapan bagi memecah kebuntuan untuk merangkul gelaran pada kejohanan berstatus Super 1,000 selepas beregu lelaki No. 2 dunia itu tewas dalam perlawanan akhir Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.
Juara Asia itu gagal menyaingi kehebatan beregu No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan apabila tumpas 15-21, 21-12, 18-21 dalam masa 1 jam 5 minit.
Kekalahan itu juga menyaksikan Malaysia terpaksa menunggu lebih lama untuk melihat beregu lelaki menjulang gelaran pada Terbuka Malaysia, yang kali terakhir dimenangi Goh V Shem-Lim Khim Wah lebih sedekad lalu iaitu pada edisi 2014.
Malah, Aaron-Wooi Yik juga terus kempunan untuk merangkul gelaran Super 1,000 selepas tujuh kali beregu No. 1 negara itu mencuba.
Selain Terbuka Malaysia, Aaron-Wooi Yik yang menjadi wakil tunggal negara di pentas final, turut muncul naib juara pada Terbuka China 2025, All England 2024, Terbuka China 2023, Terbuka Indonesia 2023, Terbuka Thailand 2021 dan All England 2019.
Selaku naib juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$50,750 (RM207,745) beserta pingat perak.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudi meluangkan masa menyaksikan perlawanan akhir tersebut.
Aaron berkata, dia dan Wooi Yik telah memberikan yang terbaik dalam perlawanan itu dan sokongan peminat yang hadir ke stadium telah banyak membantu mereka untuk menghadirkan tentangan sengit kepada lawan.
“Kita bermain di laman sendiri, kita masih percaya kalau kita sabar dan berusaha satu demi satu, tetapi, kita cuma masih belum mampu mencipta kemenangan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Kata Aaron, kegagalan buat kali ketujuh untuk merangkul gelaran Super 1,000 memberi isyarat bahawa mereka perlu terus perbaiki kekurangan yang ada untuk capai ke satu tahap yang membolehkan satu kejayaan dapat dicipta.
“Saya percaya, akan datang kalau kita terus kekalkan konsisten dalam memajukan permainan kami, saya yakin kami mampu mencipta kecemerlangan untuk Malaysia,” ujarnya.
Mengulas mengenai beregu Korea Selatan yang dilihat sukar untuk ditewaskan, Aaron berkata, jurang antara mereka dan Won Ho-Seung Jae tidaklah jauh dan ketenangan yang dimiliki pasangan No. 1 dunia itu menjadi kelebihan kepada lawan.
“Dekat mata penting mereka lebih tenang, itu yang buat dia orang lebih yakin, lebih-lebih lagi Won Ho-Seung Jae masih segar dengan kejayaan mereka merangkul 12 gelaran pada tahun lalu,” katanya.-UTUSAN










