KUALA LUMPUR: Kejayaan Man Wei Chong-Tee Kai Wun mara ke suku akhir kembali menceriakan Axiata Arena, selepas beregu lelaki No. 5 dunia itu membenam pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Beregu No. 2 Malaysia itu tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan gandingan ke-26 dunia itu 21-9, 21-15 dalam masa 29 minit.
Kemenangan yang dilakar Wei Chong-Kai Wun, kembali meletakkan beregu Malaysia itu memimpin rekod pertemuan dengan Midorikawa-Yamashita kepada 2-1.
Pada suku akhir, esok, Wei Chong-Kai Wun berkemungkinan besar akan menentang beregu handalan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae sekiranya gandingan No. 1 dunia itu menewaskan wakil Malaysia, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong.
Ketika diminta mengulas mengenai pertemuan suku akhir itu, Wei Chong berkata, apa yang boleh dilakukan mereka ketika ini ialah membuat persediaan rapi kerana mereka belum pernah menewaskan juara dunia tersebut.
“Jadi, harap perlawanan seterusnya, beregu yang menentang Won Ho-Seung Jae dapat memberikan tentangan, saya harap mereka boleh bermain baik bertemu gandingan Korea Selatan itu,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan berakhir.
Bagaimanapun, Kai Wun pula berkata, walau siapapun pencabar mereka kelak, dia amat mengharapkan sokongan padu daripada penyokong Malaysia bagi membangkitkan semangat ketika di dalam gelanggang.
“Dekat sini ada ramai peminat, ini motivasi untuk kita, jadi, (kalau main) dekat Malaysia memang kita lebih teruja.
“Saya harap penyokong akan bantu kami untuk menang perlawanan tersebut, berikan kami lebih lagi (semangat),” katanya.
Kata Kai Wun, peminat akan terus menjerit sebagai tanda sokongan tanpa mengira ketika itu mereka sedang kehilangan atau berjaya mengutip mata.
“Ada suara yang tak berhenti-henti menjerit nama kami, jadi, memang suasana itu buat saya lebih teruja,” katanya. – UTUSAN










