PUTRAJAYA: Isu pemindahan ladang penternakan babi di Selangor tidak dibangkit dan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kenyataan dibuat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin mengenai isu itu sudah memadai.
“Tak ada dibincangkan. Kenyataan Menteri Besar Selangor semalam memadai,” katanya dalam sidang akhbar mingguan mesyuarat Kabinet, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Selangor akan menyegerakan proses kajian Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) terhadap projek ladang penternakan babi yang baharu di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Isu penternakan babi di Selangor berdepan pelbagai kontroversi termasuk kritikan dan desakan penduduk setempat yang mahu kerajaan mengambil tindakan lebih tegas, khususnya melibatkan sensitiviti masyarakat.
Isu itu turut mendapatkan perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan baginda menitahkan supaya aktiviti penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat dihentikan secara beransur-ansur.
Baginda juga mahu operasi ternakan dipindahkan ke Bukit Tagar mengikut perancangan, selain mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan. – UTUSAN










