‘Jangankan orang Melayu, makhluk lain pun tak sanggup tinggal di Bukit Tagar’

‘Jangankan orang Melayu, makhluk lain pun tak sanggup tinggal di Bukit Tagar’

IZHAM HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemindahan semua 116 ladang babi di Tanjung Sepat dan Kuala Langat ke lokasi berpusat di Bukit Tagar adalah bagi menyelesaikan masalah pencemaran dan bau busuk dihadapi penduduk dalam jangka masa tiga tahun.

Pemilihan Bukit Tagar sebagai lokasi berpusat untuk penternakan babi adalah kerana kawasan tersebut merupakan tempat pengumpulan sampah yang tidak berpenghuni.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, sidang akhbar pada 8 Januari lalu secara dasarnya untuk memberitahu penduduk Tanjung Sepat dan Kuala Langat bahawa pencemaran dan bau yang menghantui mereka akan diselesaikan dalam tempoh tiga tahun lagi.

Katanya, banyak pihak terlepas pandang sedangkan kerajaan negeri cuba menyelesaikan masalah rakyat, bukannya menambah lagi penderitaan mereka.

“Kawasan Bukit Tagar ini adalah kawasan pengumpulan sampah (landfill), jangan kata orang Melayu, makhluk lain pun tak sanggup tinggal di kawasan tersebut.

“Kawasan itulah kerajaan negeri mencadangkan untuk dibina pusat penternakan babi secara moden, berteknologi tinggi dan mesra alam.

“(Jadi) tidak timbul di situ kawasan orang Melayu atau kaum lain sedangkan tiada penempatan di kawasan tersebut. Perkara ini juga saya telah sembah maklum kepada Tuanku Sultan Selangor dan baginda amat memahami perkara tersebut,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Izham berkata, banyak pihak yang melemparkan tohmahan dan makian kepadanya sehinggakan ada yang melabelkannya sebagai ‘diternak’ oleh tauke babi.

“Satu perkara lagi, baginda Tuanku juga amat memahami bahawa menjadi keperluan untuk negeri menyediakan sumber makanan kepada bukan Islam memandangkan negeri ini merupakan negeri berbilang kaum.

“Saya berharap isu ini dapat dilihat secara adil, rasional dan menyeluruh, bukan melalui lensa emosi atau sentimen semata-mata.

“Apa yang diusahakan oleh kerajaan negeri adalah penyelesaian jangka panjang demi kesihatan, kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar, selari dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN