PETALING JAYA: K. Letshanaa menjadi wakil tunggal perseorangan wanita Malaysia yang berjaya mara sehingga ke peringkat 16 terbaik pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Pemain yang menghuni ranking ke-42 dunia itu menewaskan wakil Taiwan, Hsu Wen Chi yang berada di tangga No. 34 dunia 9-21, 21-12, 22-20 dalam masa 55 minit.
Kemenangan tersebut memboleh pemain perseorangan No. 1 Malaysia itu menyamakan rekod pertemuan dengan Wen Chi kepada 1-1.
Pada pusingan kedua, esok, Letshanaa bakal mengharungi laluan sukar apabila dijadual menentang pemain No. 12 dunia, Michelle Li dari Kanada.
Rakan senegaranya pula, Wong Ling Ching terkandas di pusingan pertama selepas akur kepada pemain Thailand, Pitchamon Opatniputh 22-20, 13-21, 12-21 dalam masa 1 jam 4 minit.
Ekoran kekalahan dialami Ling Ching yang menghuni ranking ke-43 dunia itu, menyaksikan Pitchamon kini mengatasinya dengan kedudukan 2-1.
Sementara itu, nasib malang turut menimpa perseorangan lelaki negara, Justin Hoh yang tewas kepada Wang Zheng Xing dari China 15-21, 11-21 dalam masa 36 minit.
Kekalahan tersebut menyaksikan rekod pertemuan kedua-dua pemain kini terikat kepada 1-1. – UTUSAN










