LONDON: Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton meneruskan persiapannya bagi musim 2026 dengan menunggang sebuah motosikal motocross KTM.
Pelumba Britain itu dikenali sebagai peminat motosikal setelah menyertai pelbagai sesi track day, termasuk pertukaran tunggangan dengan lagenda MotoGP, Valentino Rossi pada 2019.
Di Instagram, Hamilton memuat naik beberapa keping gambar dirinya menunggang sebuah KTM 250 XC-F spesifikasi 2024.
Hamilton kini sedang membuat persiapan untuk memulakan musim keduanya sebagai pelumba Ferrari, namun ia hadir selepas musim terburuk dalam kerjayanya.
Walaupun Hamilton menamatkan kejuaraan satu kedudukan lebih tinggi berbanding musim 2024 bersama Mercedes, dia gagal memenangi sebarang perlumbaan dan tidak pernah menaiki podium dalam mana-mana grand prix (GP).
Itu merupakan musim ketiga tanpa kemenangan dalam empat tahun terakhir dengan Hamilton ketinggalan hampir 90 mata di belakang rakan sepasukan, Charles Leclerc dalam kejuaraan.
Ferrari menamatkan musim tersebut di tempat keempat dalam kedudukan kejuaraan pengeluar. – AGENSI










