ETS KL Sentral-Johor Bahru kini lapan perkhidmatan sehari

ETS KL Sentral-Johor Bahru kini lapan perkhidmatan sehari

TOH Lai Fong (tiga kiri) menyerahkan cenderamata kepada pelawat asing dan domestik yang tiba di pintu-pintu masuk utama dan hab pengangkutan awam sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di balai ketibaan ETS, KL Sentral di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah empat lagi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) antara KL Sentral di sini dengan Johor Bahru, Johor lantas menjadikan lapan perkhidmatan sehari bagi laluan strategik itu bermula hari ini.

Penambahan tersebut melengkapkan empat perkhidmatan yang dilancarkan pada 12 Disember lalu, seterusnya mampu meningkatkan jumlah penumpang serta pelancong susulan peningkatan tahap keterhubungan perkhidmatan rel antara selatan tanah air dan bandar-bandar utama.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Afzar Zakariya berkata, ETS bukan sahaja menghubungkan Johor Bahru dengan Kuala Lumpur, malah meliputi destinasi penting lain seperti Ipoh,Perak, Butterworth, Pulau Pinang dan Padang Besar, Perlis.

“Ia mencerminkan kejayaan kerjasama strategik antara pengangkutan rel dan sektor pelancongan.

“KL Sentral yang menjadi hab utama rel negara kini berfungsi sebagai stesen hentian bagi 42 perkhidmatan ETS setiap hari, sekali gus menjadi transit utama pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya dalam sidang akhbar sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) hari ini.

Afzar berkata, peningkatan kekerapan perkhidmatan bakal merangsang pergerakan pelancong domestik dan antarabangsa, khususnya sempena TMM 2026.

“Penggunaan ETS akan terus meningkat sehingga hujung tahun ini, selari dengan usaha mempromosikan perjalanan rel sebagai pilihan selamat, selesa dan efisien kepada pelancong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN