LONDON: Manchester City dan Aston Villa terlepas peluang untuk merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal selepas masing-masing mencatat keputusan seri semalam.
Manchester United beraksi tanpa pengurus turut mencatat keputusan seri manakala Chelsea yang beraksi dengan 10 pemain tumpas 2-1 kepada Fulham di depan ketua jurulatih baharu, Liam Rosenior.
Penyerang Bournemouth, Antoine Semenyo pamer aksi cemerlang selepas menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Tottenham 3-2.
Erling Haaland menjaringkan gol ke-150 dia bersama City menerusi sepakan penalti untuk meletakkan pasukan kendalian Pep Guardiola itu di depan tetapi pemain tengah Brighton, Kaoru Mitoma menyamakan kedudukan 1-1 pada separuh masa kedua.
City kini mengumpul 43 mata, lima mata di belakang Arsenal yang boleh melebarkan kelebihan kepada lapan mata jika menewaskan Liverpool hari ini.
Villa pula berkongsi mata dengan City selepas seri tanpa jaringan yang merugikan di Crystal Palace.
Guardiola meluahkan kekecewaan terhadap ketumpulan pasukannya di hadapan gol.
“Saya sangat menyukai cara kami bermain, kami melakukan banyak perkara yang baik, tetapi kami tidak menjaringkan gol. Terlalu banyak peluang jelas,” katanya. – AFP










