Bersihkan saki baki gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa

Bersihkan saki baki gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa

ANWAR Ibrahim menyantuni para jemaah selepas hadir menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Amin, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Seluruh badan penguatkuasa perlu menjalankan tanggungjawab mereka sepenuhnya bagi membersihkan negara dari kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses perolehan kontrak dan tender dari kerajaan masih mempunyai kelemahan serta keterlanjuran walaupun sudah diberi tekanan dan gesaan.

Kata beliau, perkara itu perlu ditangani bagi membebaskan negara daripada gejala rasuah.

“Umpamanya cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang sisa elektronik atau e-waste yang saya tidak faham mengapa boleh dimasukkan ke dalam tanah. 

Pandangan dan ketetapan Jemaah Menteri adalah melarang sama sekali Malaysia menjadi tempat pembuangan e waste

“Jadi sebab itu hal-hal ini harus dipantau dan saya bagi laluan penuh. Petang ini saya akan dapat laporan dari Ketua Audit Negara. SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) dan Bank Negara. Mereka harus teruskan tugas mereka membersihkan saki baki rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Solat Jumaat di Surau Al Amin, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, SPRM mengesahkan membuka kertas siasatan tatakelola berhubung pengurusan sisa elektronik susulan Op Nature dan akan diperluaskan ke seluruh negara sekiranya ada keperluan. 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, tindakan itu diambil susulan operasi yang dijalankan serentak oleh SPRM Selangor dan SPRM Negeri Sembilan di Klang serta Nilai.

Katanya, selain siasatan berkaitan kesalahan jenayah rasuah, SPRM turut menumpukan kepada aspek tatakelola bagi mengenalpasti punca dan kelemahan yang menyumbang kepada isu pengurusan e-waste. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN