GEORGE TOWN: Pandangan daripada ibu bapa agar Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dinaikkan kepada RM200 berbanding RM150 pada masa ini boleh diambil pertimbangan oleh pihak kerajaan pada masa depan.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, jumlah RM150 yang diberikan ketika ini masih dianggap munasabah dan rasional selaras dengan kos barangan persekolahan semasa.
Katanya, bantuan berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2026 melibatkan semua pelajar tanpa mengira latar belakang pendapatan keluarga.
“Jumlah RM150 ini adalah rasional sebagai bantuan awal persekolahan. Kita juga telah membuat kajian di peringkat kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang turut menetapkan jumlah sama.
“Berdasarkan tinjauan saya sendiri ke lebih 20 premis perniagaan terpilih, kos pembelian pakaian sekolah, kasut, stokin dan alat tulis tidak melebihi RM150,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan BAP Daerah Barat Daya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pandangan ibu bapa yang memohon agar kadar BAP dinaikkan ke RM200 berbanding RM150 pada masa ini selaras dengan kenaikan kos harga barangan persekolahan pada masa ini.
Kadar BAP sebelum ini adalah RM100 bagi setiap murid, tetapi kerajaan telah menaikkannya kepada RM150 mulai sesi persekolahan 2022/2023 dan kini diperluaskan lagi untuk faedah lebih ramai pelajar, dengan bantuan yang diagihkan sekitar bulan Januari setiap tahun.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, di Pulau Pinang secara keseluruhannya, seramai lebih 100,000 pelajar daripada 397 sekolah menerima bantuan tersebut dengan jumlah peruntukan sebanyak RM34.1 juta daripada Kementerian Pendidikan (KPM).
“Bagi daerah Barat Daya sahaja, peruntukan BAP melibatkan kira-kira RM4.3 juta dengan jumlah penerima melebihi 27,000 pelajar, manakala seramai 1,200 pelajar menerima manfaat di SMK Sungai Ara.
“Sejak 2023 di bawah Kerajaan Madani, bantuan ini diberikan kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan isi rumah, berbeza sebelum ini yang hanya tertumpu kepada keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah,” katanya.
Tambahnya, langkah ini jelas membantu mengurangkan beban keluarga termasuk golongan B40 dan M40 dan semua pihak amat menghargai keprihatinan Kerajaan Madani terhadap kebajikan rakyat. – UTUSAN










