Maklum kepada KPM jika tak dapat bayaran penuh BAP - Fadhlina

Maklum kepada KPM jika tak dapat bayaran penuh BAP – Fadhlina

FADHLINA Sidek (kiri) ketika menghadiri Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Tahun 2026 di SMK Tun Syed Sheh Barakbah di Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Ibu bapa yang tidak menerima bayaran penuh bagi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) iaitu sebanyak RM150 diminta agar memaklumkan perkara itu kepada pengetahuan Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memandangkan serius isu itu walaupun peringatan yang sama telah diberikan saban tahun.

“Bayaran RM150 ini hanya untuk Bantuan Awal Persekolahan dan ia mesti diserahkan dengan jumlah RM150 itu.

“Jadi, kalau ada ibu bapa yang tak terima RM150 ini, kurang 10 sen ke, kurang RM1, dia kena beritahu pada kitalah (KPM) kerana jumlah itu tidak boleh berkurangan. Mesti RM150,” katanya.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah di Sungai Bakap di sini, hari ini.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyerahkan peruntukan BAP sebanyak RM34.12 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) untuk diagihkan kepada lebih 227,000 murid dan pelajar di seluruh negeri ini.

Dalam pada itu, Fadhlina turut meminta agar mana-mana sekolah yang belum menyerahkan BAP kepada murid dan pelajar mereka supaya segera berbuat demikian.

Katanya, ketika ini, kesemua sekolah di bawah KPM telah menerima peruntukan bagi tujuan tersebut dan ia mesti diagihkan secepat mungkin bagi memudahkan urusan ibu bapa serta penjaga yang terlibat.

“Kalau boleh, kita harap semua urusan itu (penyerahan BAP) akan selesai dalam minggu ini juga,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN