Azizulhasni mula langkah kanan, raih emas pecut

Azizulhasni mula langkah kanan, raih emas pecut

Pelumba yang digelar The Pocket Rocketman itu menampilkan kayuhan bertenaga untuk menundukkan wakil Korea Selatan, Kim Geunwoo, dalam aksi final yang berlangsung sengit.-IHSAN FB AZIZULHASNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, membuka kempen musim 2026 dengan penuh bergaya apabila meraih pingat emas acara pecut elit lelaki pada Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 1 di Velodrom Nasional, hari ini.

Pelumba yang digelar The Pocket Rocketman itu menampilkan kayuhan bertenaga untuk menundukkan wakil Korea Selatan, Kim Geunwoo, dalam aksi final yang berlangsung sengit.

Saingan penentuan emas menyaksikan kedua-dua pelumba terikat 1-1 selepas dua perlumbaan sebelum Azizulhasni mengesahkan kemenangan mutlak pada perlumbaan penentuan, sekali gus menceriakan kem negara di hadapan penyokong sendiri.

Beraksi sebagai pelumba bebas bersama Team Azizul, Azizulhasni menganggap kejayaan tersebut amat penting dalam membina momentum awal musim, terutama menjelang beberapa kejohanan utama pada suku pertama tahun ini.

Beliau turut menyifatkan kemenangan itu sebagai sebahagian daripada persiapan awal menghadapi Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dari 23 Julai hingga 2 Ogos, serta Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober depan.

“Alhamdulillah, keputusan hari ini seperti yang saya harapkan. Ia bukan laluan yang mudah, namun sokongan pasukan dan penyokong di sini benar-benar menaikkan semangat untuk menang di tempat sendiri,” katanya.

Menurut Azizulhasni, pengalaman berlumba menentang Kim sebelum ini menjadikan perlumbaan kali ini lebih mencabar, memaksanya melakukan penyesuaian taktikal.

“Kami pernah bertemu di New Zealand sebelum ini. Dia sudah tahu gaya saya, jadi saya perlu ubah sedikit strategi. Secara keseluruhan, ia perlumbaan yang baik,” katanya.

Pingat gangsa acara pecut elit lelaki menjadi milik pelumba kebangsaan, Muhammad Ridwan Sahrom, yang menewaskan Cheuk Hei To dari Hong Kong.

Dalam perkembangan lain, Azizulhasni optimis rakan sepasukan negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, mampu kembali ke prestasi terbaik selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut kanan.

Sementara itu, acara pecut elit wanita menyaksikan penguasaan mutlak kem negara apabila Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meraih pingat emas selepas menewaskan rakan sepasukan, Nurul Alyssa Farid, pada aksi final.

Pingat gangsa dimenangi Anis Amira Rosidi yang menewaskan seorang lagi pelumba negara, Yong Ann Tung, sekali gus melengkapkan kejayaan cemerlang skuad pecut wanita Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN