LONDON: Pengembaraan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) menyaksikan Arsenal menerima tamparan hebat apabila tewas 2-3 kepada Manchester United dalam aksi dramatik di Stadium Emirates awal pagi tadi.
Gol sendiri Lisandro Martinez pada minit ke-29 meletakkan Arsenal di hadapan hasil tekanan awal berterusan tuan rumah yang menguasai permainan.
United bangkit sebelum rehat apabila kesilapan hantaran belakang Martin Zubimendi dihukum Bryan Mbeumo untuk menyamakan kedudukan.
Selepas separuh masa kedua bermula, Patrick Dorgu meledak rembatan padu dari luar kotak penalti untuk memberikan kelebihan kepada pelawat.
Arsenal yang terdesak akhirnya menemui gol penyamaan pada minit ke-84 menerusi Mikel Merino selepas kecuaian United mempertahankan sepakan penjuru.
Harapan tuan rumah hanya bertahan tiga minit apabila Matheus Cunha melepaskan rembatan jarak jauh memukau bagi memastikan kemenangan United.
Kekalahan pertama Arsenal dalam 13 perlawanan semua kejohanan itu turut menamatkan rekod 18 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri.
Keputusan tersebut menyaksikan jurang di puncak liga kini semakin mengecil sekali gus menghidupkan kembali saingan kejuaraan musim ini. – AGENSI










