PETALING JAYA: Aksi longlai beregu lelaki negara, Aaron Tai–Kang Khai Xin memakan diri apabila tersingkir seawal pusingan kedua Thailand Masters, meskipun turun ke gelanggang selaku pilihan keenam kejohanan itu, Khamis lalu.
Biarpun memiliki kelebihan di atas kertas dengan rekod pertemuan 4-2, Aaron-Khai Xin gagal memanfaatkan peluang apabila tewas straight set kepada beregu China, Hui Ke Yuan–Lin Xiang Yi 21-23, 18-21 pada kejohanan bertaraf Super 300 berkenaan.
Jurulatih beregu lelaki negara, Chang Kim Wai mengakui prestasi pasangan berusia 20 tahun itu jauh daripada tahap sebenar, dengan kesilapan sendiri menjadi punca utama kekalahan mereka.
“Mereka melepaskan banyak peluang di depan yang sepatutnya boleh menghasilkan mata, namun akhirnya melakukan kesilapan sendiri terutama dalam set pertama.
“Dalam set kedua pula, Aaron agak memaksa permainan di depan jaring manakala pertahanan Khai Xin mula melakukan kesilapan,” kata Kim Wai.
Juara dunia remaja 2024 itu sebelum ini memulakan musim dengan langkah kurang baik apabila terpaksa menarik diri di pertengahan perlawanan pusingan pertama menentang beregu utama negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik pada Terbuka India 2026, dua minggu lalu.
Bagaimanapun, Aaron-Khai Xin masih berpeluang untuk bangkit dan membuktikan kemampuan sebenar apabila membawa cabaran negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 yang akan berlangsung dari 3 hingga 8 Februari ini di Qingdao, China.
Untuk rekod, Aaron-Khai Xin meraih tiga gelaran pada musim lalu menerusi Guwahati Masters, Kejohanan Antarabangsa Syed Modi dan Malaysia Super 100, selain muncul naib juara Odisha Masters.-UTUSAN










