Aaron-Wooi Yik leraikan badi final Terbuka Malaysia

Aaron-Wooi Yik leraikan badi final Terbuka Malaysia

Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akhirnya menamatkan kemarau panjang wakil tempatan ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia selepas mengesahkan slot final, sebentar tadi.

Beraksi penuh bersemangat di hadapan lebih 10,000 penonton di Axiata Arena, pasangan No. 2 dunia itu mengetepikan cabaran gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri dengan kemenangan straight set 23-21, 21-18 dalam tempoh 50 minit.

Sorakan padu penyokong tempatan bergema di seluruh arena apabila kejayaan itu sekali gus menamatkan penantian negara untuk melihat wakil mara ke final kejohanan bertaraf Super 1000 itu sejak legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei merangkul kejuaraan pada 2018.

Kemenangan tersebut turut menyaksikan Aaron-Wooi Yik menyamakan rekod pertemuan kepada 2-2 ke atas pasangan Indonesia itu, selepas kali terakhir menewaskan mereka pada aksi Jelajah Dunia Akhir BWF, bulan lalu.

Pada perlawanan akhir esok, juara dunia 2022 itu dijadual berdepan cabaran getir daripada juara bertahan dan pasangan No. 1 dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Terdahulu, gandingan Korea itu terlebih dahulu menewaskan pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy 8-21, 21-11, 21-18 untuk mara ke final.

Untuk rekod, kali terakhir beregu lelaki negara menjulang kejuaraan Terbuka Malaysia adalah menerusi gandingan Goh V Shem-Lim Khim Wah pada edisi 2014. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN