SUNGAI BULOH: Seramai 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di Parlimen Sungai Buloh menerima bantuan persekolahan sebagai persediaan tambahan bagi menghadapi sesi persekolahan baharu yang bermula 12 Januari lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 750 pelajar menerima bantuan tunai sebanyak RM150 seorang manakala 250 lagi terdiri daripada anak-anak Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menerima sumbangan kelengkapan persekolahan lengkap.
Menurutnya, sumbangan itu berbentuk barangan set pakaian sekolah, kasut, beg, alat tulis serta pelbagai keperluan asas lain bagi meringankan beban keluarga terlibat.
“Saya gembira dengan program hari ini. Bantuan wang tunai dapat disalurkan secara bersasar khusus kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di Parlimen Sungai Buloh.
“Sumbangan ini juga memberi fleksibiliti kepada ibu bapa dan penjaga untuk membeli keperluan tambahan persekolahan anak-anak mengikut keperluan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan di majlis penyampaian bantuan persekolahan yang dihadiri kira-kira 2,000 orang termasuk ibu bapa dan penjaga penerima.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan AIM dalam menyokong aspek pendidikan sebagai elemen penting usaha memutuskan rantaian kemiskinan, khususnya dalam kalangan komuniti bandar.
“Pendidikan itu jawapan kepada semua soalan. Dengan pendidikan kita boleh dapat pekerjaan dengan bagus dan boleh jaga keluarga. Saya juga rasa bangga melihat ibu bapa hadir melaksanakan tanggungjawab hari dengan memberikan yang terbaik kepada anak-anak,” katanya. – UTUSAN











