YWP, Eco-Shop salur bantuan kembali ke sekolah kepada 600 murid dan pelajar B40

YWP, Eco-Shop salur bantuan kembali ke sekolah kepada 600 murid dan pelajar B40

DR. Abdul Basir V. Kunhimohamed (tengah) bergambar bersama 150 pelajar sekolah rendah dan menengah serta guru pengiring dari 30 buah sekolah di Kuala Lumpur dalam majlis ECO-SHOP X YWP x DBKL "BACK TO SCHOOL" AID HANDOVER CEREMONY di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Eco-Shop menyalurkan bantuan asas bernilai RM120,000 bagi meringankan beban keluarga golongan berpendapatan rendah menjelang musim kembali ke sekolah tidak lama lagi.

Inisiatif itu disalurkan kepada 600 orang murid sekolah rendah dah pelajar sekolah menengah daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi membantu persediaan menghadapi sesi akademik baharu, dengan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL).

Menerusi inisiatif berkenaan, setiap pelajar menerima baucar RM50 dari Eco-Shop yang boleh ditebus di mana-mana cawangan seluruh negara bagi pembelian barangan sekolah.

Selain itu, penerima turut menerima bantuan kewangan sebanyak RM150 daripada YWP dan DBKL yang akan dimasukkan ke dalam akaun Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah masing-masing bagi menampung yuran PIBG serta keperluan sukan dan kokurikulum.

Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Dr. Abdul Basir V. Kunhimohamed berkata, kerjasama antara sektor korporat dan kerajaan demikian menjadi peringatan bagi setiap individu atau organisasi mempunyai peranan tersendiri dalam memperkukuh komuniti dan menyokong generasi akan datang.

“Apabila kita bekerjasama dengan niat yang tulus, sumbangan yang kecil boleh mencipta perubahan yang bermakna dalam kehidupan seseorang pelajar yang memerlukan.

“Oleh itu, kami mengalu-alukan semua agensi kerajaan, syarikat korporat mahupun individu untuk bersama kami dalam usaha yang murni ini,” katanya dalam majlis penyerahan bantuan Kembali ke Sekolah Eco Shop x YWP x DBKL di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dah Pengarah Eksekutif Eco-Shop, Jessica Ng berkata, peningkatan kos sara hidup memberi tekanan ketara kepada keluarga, khususnya menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.

“Sebagai jenama yang memberi khidmat kepada komuniti di seluruh negara, kami melihat sendiri bagaimana peningkatan kos hidup memberi kesan kepada sesebuah keluarga, terutamanya ketika memasuki sesi persekolahan.

“Dengan itu, kami yakin kerjasama dengan YWP, DBKL dan JPWPKL akan membolehkan kami menyumbang secara lebih mampan, yang bukan sahaja berfungsi sebagai bantuan kepada pelajar tetapi satu pelaburan untuk membantu generasi masa depan yang akan membentuk kemajuan negara,” katanya.

Pada masa sama, Eco-Shop turut melancarkan kempen Riang Ria Hari Sekolah yang berlangsung sehingga 11 Januari 2026 bagi membantu keluarga membuat persiapan persekolahan dengan kos lebih berpatutan.

Kempen tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap cabaran kewangan yang dihadapi ibu bapa, sekaligus menegaskan kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kesediaan anak-anak untuk memulakan persekolahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×