DOHA: Max Verstappen mengakui tidak menjangkakan untuk menjuarai Grand Prix (GP) Qatar selepas memanfaatkan kesilapan dua pelumba McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri hasil keputusan strategi yang penting.
Pelumba Red Bull itu turut mendedikasikan kejayaannya itu kepada pasukannya dan ketua strategi, Hannah Schmitz susulan kemenangan yang menakjubkan.
Ia berlaku pada pusingan ketujuh apabila kereta keselamatan dikerahkan dan Verstappen segera dipanggil masuk ke pit sementara McLaren teragak-agak dan memilih untuk terus berada di luar tanpa membuat hentian.
McLaren menjadi satu-satunya pasukan yang berbuat demikian dalam perlumbaan yang mewajibkan dua hentian.
“Saya tidak menjangka untuk menang, sudah tentu.
“Dari segi kelajuan tulen, kami tidak berada pada tahap yang sama dengan mereka (McLaren) tetapi kami membuat keputusan yang tepat dan ia memberi kami hampir satu hentian pit percuma dan itu menentukan perlumbaan untuk saya.
“Ia bermakna dua pertukaran tayar yang panjang tetapi kami menguruskan tayar dengan baik dan mereka semakin hampir tetapi tidak terlalu banyak dan keputusan itu yang memenangi perlumbaan hari ini (semalam)!,” kata Verstappen.
Ditanya sama ada dia percaya itu adalah satu lagi kesilapan yang sebelum ini dikatakan membantu mengekalkannya dalam perebutan kejuaraan, Verstappen berkata: “Satu lagi?… Ya.”
“Mereka terlepas seluruh peluang itu. Dari segi kelajuan, mereka lebih laju, tetapi hari ini menunjukkan apa sahaja boleh berlaku dan dengan pemikiran positif, kami akan pergi ke Abu Dhabi dan melakukan yang terbaik serta cuba untuk menang,” katanya. – AFP










