PETALING JAYA: Malaysia meneliti implikasi keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) yang memutuskan dasar tarif timbal balas negara itu sebagai tidak berperlembagaan termasuk menilai kesan pengumuman tarif baharu oleh Presiden Donald Trump.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan turut meneliti skop dan implikasi pengumuman Trump berhubung pelaksanaan langkah tarif sementara sebanyak 10 peratus.
Menurut beliau, Malaysia telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) dengan AS ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 tahun lalu, namun ia masih belum diratifikasi.
“Kerajaan sedang menilai secara berhati-hati perkembangan undang-undang dan dasar terkini di Amerika Syarikat.
“Bagaimanapun berdasarkan kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh pihak Amerika Syarikat sebelum ini, kita memahami bahawa negara itu masih mempunyai mekanisme perundangan lain untuk mengenakan langkah perdagangan termasuk tarif unilateral, sekiranya ia memilih untuk berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan semalam.
Terdahulu, Mahkamah Agung AS memutuskan bahawa penggunaan kuasa darurat oleh Trump untuk mengenakan apa yang digelar tarif timbal balas ke atas hampir semua rakan dagang AS adalah tidak berperlembagaan.
Mahkamah tertinggi itu turut memutuskan bahawa Trump telah melampaui bidang kuasa Presiden apabila menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 untuk mengenakan tarif global secara meluas, termasuk duti berkaitan fentanyl ke atas barangan import dari China, Kanada dan Mexico.
Susulan itu, Trump mengumumkan pelaksanaan tarif sebanyak 10 peratus ke atas barangan import dari semua negara yang akan dikuatkuasakan serta-merta.
Pada 26 Oktober 2025, ART dimeterai dengan AS dan Malaysia dikenakan tarif timbal balik sebanyak 19 peratus menerusi rundingan.
Johari berkata, Malaysia mengambil maklum keputusan Mahkamah Agung AS itu dan negara kuasa besar berkenaan masih mempunyai mekanisme perundangan lain untuk mengenakan langkah perdagangan termasuk tarif unilateral sekiranya memilih untuk berbuat demikian.
Menurutnya, pendirian Malaysia adalah jelas dan konsisten terus komited terhadap perdagangan terbuka dan berasaskan peraturan, mengekalkan persekitaran perniagaan yang stabil dan boleh diramal.
“Malaysia juga konsisten dan melindungi kepentingan pengeksport tempatan, pelabur antarabangsa, perniagaan yang beroperasi di negara ini dan pekerja di seluruh sektor ekonomi.
“Pada masa sama, Malaysia akan terus mempelbagaikan hubungan perdagangan dan memperkukuh kerjasama ekonomi serantau serta pelbagai hala bagi memastikan daya tahan dalam persekitaran perdagangan global yang sentiasa berkembang.
“Kami akan bertindak demi kepentingan terbaik Malaysia sambil mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan AS,” katanya.
Johari berkata, AS kekal sebagai salah satu ekonomi terbesar dunia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kira-kira AS$31 trilion.
Katanya, pada tahun lalu, jumlah dagangan antara Malaysia dan AS mencecah kira-kira RM367 bilion dengan jumlah eksport ke negara itu sebanyak RM233 bilion.
“Oleh itu, AS adalah rakan dagang yang penting dan sudah lama bagi Malaysia,” katanya.-UTUSAN










