Tempoh lanjutan remedi buka rundingan kerajaan Persekutuan, Terengganu

Tempoh lanjutan remedi buka rundingan kerajaan Persekutuan, Terengganu

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lanjutan tempoh remedi berkaitan notis dikeluarkan Kerajaan Terengganu di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara hingga 7 Januari 2026 membuka ruang rundingan lebih lanjut bersama Kerajaan Persekutuan khususnya melibatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah menerima maklumat terkini berhubung isu Felda serta perkembangan perbincangan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Semalam Felda dan FGV Holdings Berhad (FGV) telah mengeluarkan kenyataan susulan kenyataan kerajaan Negeri Terengganu berkaitan satu isu melibatkan skim rancangan Felda.

“Sebelum ini saya pernah memaklumkan Kerajaan Persekutuan telah membuat bayaran sebanyak RM61 juta tahun lalu, namun terdapat beberapa perkara yang sedang diteliti,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri sentiasa mengikuti perkembangan isu berkenaan dengan teliti bagi memastikan setiap perkara diselesaikan berdasarkan perundangan dan kepentingan semua pihak terlibat.

Sebelum ini, keputusan kerajaan negeri Terengganu memberikan remedi atau lanjutan masa tambahan untuk menyelesaikan isu tanah di negeri itu sehingga 7 Januari 2026 membolehkan peneroka memulakan semula operasi ladang hari ini seperti dipersetujui.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr. Azman Ibrahim malah dilaporkan berkata, kerajaan negeri memberi tempoh tiga hari berakhir Sabtu lalu supaya FGV mengosongkan 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar.

Untuk rekod, rundingan antara kerajaan negeri Terengganu dan Felda menunjukkan perkembangan positif selepas beberapa siri perbincangan susulan notis amaran dikeluarkan kerajaan negeri baru-baru ini.

Sehubungan itu, kerajaan negeri turut bersetuju melanjutkan tempoh remedi dalam notis kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) sehingga 7 Januari tahun hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN