BANGKOK: Kejutan besar melanda kem badminton negara apabila beregu campuran yang juga juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tersingkir di separuh akhir Sukan SEA Thailand 2025, sebentar tadi.
Dalam aksi di Gimnasium 4 Thammasat University itu, pasangan No. 3 dunia itu tewas straight set 15-21, 16-21 dalam masa 44 minit kepada gandingan tuan rumah, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat.
Kekalahan meranapkan sasaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang meletakkan gandingan itu sebagai sandaran utama untuk memburu salah satu daripada empat pingat emas yang disasarkan.
Meskipun memiliki rekod bersih tiga kemenangan daripada tiga pertemuan terdahulu ke atas pasangan No.13 dunia itu, Tang Jie-Ee Wei gagal menterjemahkan kelebihan itu di gelanggang sebenar.
Tekanan permainan dan kesilapan jelas mempengaruhi rentak perlawanan, menyaksikan pasangan negara bergelut untuk menyekat asakan agresif Ruttanapak-Jhenicha yang konsisten sejak awal permainan.
Ini merupakan kemenangan pertama pasangan Thailand itu ke atas Tang Jie-Ee Wei dalam empat pertemuan mereka setakat ini.-UTUSAN










