PETALING JAYA: Nasib tidak menyebelahi beregu campuran No. 2 Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai apabila mereka ditimpa kekalahan kedua dan sekali gus, tersingkir daripada perebutan slot ke separuh dalam aksi Kumpulan B pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China, hari ini.
Pasangan No. 9 dunia itu, bagaimanapun, mempamerkan persembahan yang baik sebelum terpaksa akur di tangan gandingan No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China 25-23, 11-21, 20-22 dalam masa 1 jam 9 minit.
Kekalahan tersebut menyaksikan mereka gagal meraih sebarang mata selepas turut tumpas kepada rakan senegara, Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei dalam aksi pembukaan, semalam.
Nasib serupa turut dialami beregu Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu yang menguni ranking No. 10 dunia selepas mereka juga tewas dua kali di tangan lawan yang sama.
Ditimpa dua kekalahan telah mengeluarkan Shevon-Soon Huat dan Jafar-Felisha daripada kancah persaingan dan sekali gus meletakkan kedudukan Tang Jie-Ee Wei serta Yan Zhe-Dong Ping tidak mampu lagi digugat.
Esok, Tang Jie-Ee Wei yang menghuni ranking No. 4 dunia dan Yan Zhe-Dong Ping bakal menghitung pertemuan bagi merebut tempat selaku juara dan naib juara dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B.
Sementara Soon Huat-Shevon dan Jafar-Felisha akan berdepan di antara satu sama lain bagi mencari kemenangan sagu hati sebelum menutup tirai mereka musim ini. – UTUSAN










