Israel lulus perjanjian gas AS$35 bilion dengan Mesir - Utusan Malaysia

Israel lulus perjanjian gas AS$35 bilion dengan Mesir

BENJAMIN NETANYAHU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan beliau meluluskan satu perjanjian eksport gas utama dengan Mesir bernilai hampir AS$35 bilion (RM143 bilion).

“Saya meluluskan perjanjian gas terbesar dalam sejarah Israel. Perjanjian ini bernilai 112 bilion shekel (RM142 bilion). Daripada jumlah itu, 58 bilion shekel (RM73.53 bilion) akan masuk ke perbendaharaan negara,” kata Netanyahu dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.

“Perjanjian ini dimeterai dengan syarikat Amerika Syarikat (AS), Chevron bersama rakan kongsi Israel yang akan membekalkan gas ke Mesir,” tambahnya.

Menteri Tenaga, Eli Cohen yang turut hadir semasa ucapan itu menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai perjanjian eksport terbesar dalam sejarah negara.

Netanyahu berkata, dana tersebut akan memperkukuh pendidikan, penjagaan kesihatan, infrastruktur, keselamatan serta masa depan generasi akan datang selain meningkatkan kedudukan Israel sebagai kuasa tenaga serantau.

Syarikat Israel, NewMed Energy pada Ogos lalu mengumumkan pemeteraian perjanjian bernilai AS$35 bilion untuk membekalkan gas asli kepada Mesir.

Menurut laporan yang diterbitkan syarikat itu, perjanjian berkenaan akan meningkatkan jumlah keseluruhan gas yang dibekalkan kepada Mesir kepada 130 bilion meter padu.

Dalam satu kenyataan lewat Rabu, Ketua Pegawai Eksekutif NewMed, Yossi Abu berkata, ia merupakan hari bersejarah bagi sektor gas asli yang menjamin pelaburan berterusan di Israel serta mewujudkan kestabilan kawal selia untuk tahun-tahun akan datang.

Bagaimanapun, pertubuhan bukan kerajaan Israel, Movement for Quality Government yang memperjuangkan ketelusan negara, menyatakan kebimbangan mengenai cara perjanjian gas terbesar dalam sejarah negara ini diluluskan.

Pertubuhan itu menggesa kerajaan mendedahkan butiran perjanjian berkenaan kepada umum serta menjelaskan implikasinya terhadap rizab jangka panjang dan harga kepada pengguna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN